0

Kolaborasi OKLETSGO bersama Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, dalam sebuah video ‘social experiment’ telah meraih lebih daripada 700 kongsian dan 53 ribu tontonan sejak ia dimuatnaikkan di media sosial semalam, 31 Mac 2020.

Dengan tujuan untuk menilai reaksi orang umum terhadap pergaduhan di tempat awam, pelakon Ayura Kefle dan Wann Shelby dikehendaki memainkan watak pasangan baru berkahwin yang bertengkar dek kesulitan dalam rumah tangga mereka.

Nyatanya, kaedah tersebut terbukti berkesan apabila OKLETSGO dan A/P Faishal, yang meneliti adegan tersebut dalam sebuah van berdekatan, mendapati pelanggan wanita yang duduk bersebelan para pelakon mula gelisah.

Pelanggan wanita berkenaan hampir menitiskan air mata kerana terimbas kembali perkahwinannya yang gagal di tengah jalan.

Susulan itu, OKLETSGO dan A/P Faishal menemuramah wanita tersebut dan berkongsi tentang kepentingan ‘mempersiapkan diri’ sebelum melangkah masuk ke alam perkahwinan, yakni menerusi program Bersamamu.

“Bersamamu merupakan program menyeluruh yang bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara bakal mempelai mahupun mereka yang sudah berkahwin dengan bimbingan para naib kadi setempat agar jalinan tersebut dapat berkekalan,” kongsi A/P Faishal.

Sumber: ROMM

A/P Faishal bersama para naib kadi.

Dengan panduan dan sokongan golongan naib kadi, pasangan tersebut diberi peluang untuk mengadakan perbincangan terbuka tentang pelbagai topik bersama naib kadi berkenaan.

Sumber: A/P Faishal (Facebook)

Malah, hubungan antara naib kadi dan pasangan tersebut akan berlanjutan selama dua tahun supaya pasangan tersebut boleh terus mendapatkan nasihat dan bimbingan naib kadi sekiranya mereka berhadapan dengan masalah rumah tangga.

“Saya berharap program ini dapat menguatkan lagi pertalian keluarga agar mereka boleh bertahan dalam tahun-tahun akan datang dan sehinggalah ke anak cucu,” kongsi A/P Faishal.

Bagi keterangan lanjut tentang program Bersamamu, lungsuri https://www.romm.gov.sg/resources/romm_premarriage_guidance.asp

Anda boleh menyaksikan video ini di Facebook kami disini